KUALA LUMPUR – Sarawak berkemungkinan berdepan ancaman gerakan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari yang baru saja mengumumkan akan mewujudkan Republik Bangsamoro.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata, ekoran perkembangan tersebut, Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dijangka dikembangkan ke negeri Sarawak.
Jelas beliau, walaupun tahap ancaman itu masih rendah namun ATM tetap waspada dalam memastikan kedaulatan negara terjamin.
“Republik Mindanao (Bangsamoro) itu termasuk Pulau Pahlawan termasuk pulau di Sabah dan Sarawak, sebab itu kemungkinan Sarawak akan diancam keselamatannya, maka kita akan perluaskan ESSCOM ke Sarawak sebab kita tidak mahu apa yang berlaku di Sabah Febuari lalu berlaku kepada Sarawak.
“Kita sebagai anggota tentera tidak mahu dipersalahkan pada masa akan datang kerana tidak melihat kemungkinan ancaman itu akan berlaku dan kita melihatnya dengan begitu serius,” kata Zulkefli.
Bagaimanapun Zulkefli berkata, ESSCOM Sarawak dijangka tidak akan melibatkan penggunaan aset utama milik angkatan tentera namun ia akan bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mengenai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 yang akan berlangsung 14 hingga 17 April di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Kelmarin Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagi memperkuatkan lagi kawalan keselamatan di perairan Sarawak, kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk memperkenalkan kawasan keselamatan khas menyamai Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), di bumi Kenyalang itu.
Katanya, kawasan keselamatan khas di Sarawak itu akan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap operasi minyak dan gas di perairan Sarawak itu yang amat penting kepada ekonomi negara.
Sarawak merupakan diantara pengeluar terbesar minyak dan gas Malaysia.
“Ia akan melibatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat minyak dan gas yang beroperasi di perairan Sarawak. Petronas, Shell dan Esso memiliki pelantar-pelantar minyak yang beroperasi di tengah-tengah lautan.
“Mereka membelanjakan berbillion ringgit untuk memastikan keselamatan kakitangan mereka,” katanya. - news.abnxcess.com
Dulu Sabah Kini Sarawak Berhadapan Ancaman Tentera Misuari
Reviewed by Unknown
on
03:30
Rating:
No comments: