Kuala Lumpur: Seorang lelaki nyaris putus tangan kanan apabila ditetak berulang kali menggunakan parang oleh sekumpulan lima perompak yang menyerangnya di Jinjang Selatan di sini.
Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa Teh Kok Leng, 41, yang bekerja sebagai mekanik dikatakan sedang menghantar kereta model Nissan Sentra milik pelanggan yang tinggal di kawasan terbabit selepas siap dibaiki.
Menurutnya, dua motosikal dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang mengepung dan menyerangnya sebaik dia membuka pintu kereta.
“Saya yang terkejut cuba menahan dengan tangan kanan menyebabkan tangan cedera terkena libasan parang.
“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat berbuat apa-apa apabila seorang lagi suspek turut menyerang dan menetak kepala saya beberapa kali menyebabkan saya menjerit kesakitan,” katanya.
Teh berkata, dalam pergelutan itu dia turut tercampak ke dalam longkang sebelum suspek melarikan diri.
“Ketika itu badan dan kepala saya berlumuran darah dan terpaksa memanjat naik ke tebing longkang sebelum meminta bantuan orang ramai.
“Saya kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan terpaksa menerima 10 jahitan di kepala, tangan serta punggung akibat diserang mereka,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mengetahui punca diserang namun tidak menolak kemungkinan penjenayah mahu menyamunnya.
Bimbang kejadian sama berulang, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang di sini, untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Tangan Putus Diserang Empat Lelaki
Reviewed by Unknown
on
19:34
Rating:
No comments: