KUALA LUMPUR: Pulau Langkawi yang terletak di barat laut Semenanjung Malaysia, disenaraikan sebagai antara 10 pulau terbaik di Asia dalam Pilihan Pengembara Tripadvisor 2014.
Anugerah itu, yang disiarkan dalam laman web Tripadvisor baru-baru ini, menyenaraikan pulau tropika itu sebagai kesepuluh terbaik di Asia. Palawan di Filipina dan Koh Samui di Thailand masing-masing disenaraikan sebagai kelapan serta kesembilan terbaik.
Mengungguli carta ialah Ko Tao di wilayah Surat Thani di Thailand, yang turut disenaraikan sebagai pulau kesepuluh terbaik dunia 2014.
Langkawi, yang secara rasmi dikenali sebagai Permata Kedah, adalah sebahagian daripada 104 kepulauan di Laut Andaman, kira-kira 3 kilometer dari pantai tanah besar barat laut Malaysia.
Ia menawarkan hamparan pantai dengan pasir memutih diselubungi suasana romantik, bukit-bukau diliputi hutan, air terjun dan air bersih jernih. Langkawi diberi status Geopark Dunia oleh UNESCO pada 2007.
Pelancong boleh berkunjung ke pulau ini sama ada melalui jalan laut atau udara.
Pulau yang juga dikenali secara misteri sebagai Pulau Legenda ini berada di tempat kedua dalam senarai pilihan 10 destinasi terbaik di Malaysia dalam Pilihan Pengembara Tripadvisor 2013.
Senarai lengkap pemenang Pilihan Pengembara Tripadvisor boleh disemak menerusi laman web http://www.tripadvisor.com/TravelersChoice.
- BERNAMA
Langkawi Antara 10 Pulau Terbaik Di Asia
Reviewed by Unknown
on
03:43
Rating:

No comments: